Tuesday, 7 November 2017

DIARI JEPUNKU 5 - KANAZAWA !

DATE : 20 SEPTEMBER 2017

5.0 Destinasi 

Kanazawa, Ishikawa

5.1 Perjalanan
Kenrokuen Garden > Kanazawa Castle Park > Daerah Higashi-Chaya > Masjid Kanazawa


5.2 Bas di Kanazawa
Jam 7.30 pagi kami bertolak dari rumah sewa ke taman Kenrokuen. Kami menaiki bas untuk ke sana. Perjalanan hanya mengambil masa 15 hingga 20 minit sahaja. Terkial-kial kami mengira duit syiling ketika membayar tambang bas, nasib baik pakcik bas membantu.
Turun sahaja dari bas, kami melalui kawasan kedai cenderahati sebelum tiba di taman. Seperti biasa, jika ternampak kedai cenderahati pasti aku akan singgah dahulu. Nampaknya di bandar ini terkenal dengan “"gold flakes"”. Kebanyakkan cenderahati yang dijual akan mengandungi “"gold flakes"” sehinggakan terdapat aiskrim disaluti “"gold flakes"” dijual sepanjang deretan kedai.
Dalam bas O.o
Di sini terdapat banyak ole-ole dijual. Pasangan couple tu sedang menangkap gambar aiskrim 'gold flakes'
Salah satu pintu masuk ke taman Ken

5.3 Taman Kenrokuen
Kenapa kami memilih untuk ke taman? Di Jepun kebanyakkan landskap taman mereka amat cantik, unik dan dijaga rapi. Kami tidak salah memilih taman ini sebagai destinasi kerana ianya sangat indah, bersih serta suasananya cukup menenangkan. Tiket masuk untuk seorang adalah 310 yen. Kami meronda-ronda di dalam taman, agak besar juga taman ini, letih kami dibuatnya.

Sedang leka berjalan dan menangkap gambar, datang sekumpulan pelajar sekolah menegurku. Rupanya mereka sedang membuat tugasan luar yang diberi oleh guru. Mereka meminta izin untuk membuat kaji selidik berkenaan bandar Kanazawa bersamaku. Mereka bertukar-tukar giliran untuk membaca soalan di borang soal selidik dalam Bahasa Inggeris. Aku menjawab sahaja apa yang ditanya. Terdetik di hatiku adakah mereka faham apa yang aku katakan kerana mereka langsung tidak menulis jawapan yang diberi di borang kaji selidik itu. Mungkin ingatan mereka kuat.😎
Lanskap yang cantik
Ramai penduduk lokal datang bersiar-siar di waktu pagi, ada juga yang datang untuk membaca
Popular spot untuk bergambar
Haa tau tak ini apa ?
Taman ini terletak sebelah sekolah, hari ini terdapat aktiviti luar kelas untuk murid-murid sekolah ini
Ramai penduduk lokal yang datang melawat taman ini, baru rasa macam Jepun kan ;)
Wedding couple ke-2 kami jumpa di Jepun
Kakigoori...nyums!

TIPS : 
Cara ke Taman Kenrokuen dari Stesen Kanazawa
1. Teksi - Harga dalam RM60 (satu hala)
2. Bas - RM8 (satu hala)
*ada beberapa bas yang akan ke Kenrokuen garden, anda boleh melihat jadual yang disediakan di stesen bas / boleh bertanya di kaunter pertanyaan.


5.4 Kanazawa Castle Park
Setelah letih berjalan di kenrokuen, kami menuju ke Kanazawa Castle Park yang terletak bersebelahan dengan kenrokuen. Sebaik sahaja kami melepasi pintu masuk, terdapat sebuah padang yang luas, ramai pelancong mengambil gambar di situ kerana ia berhadapan dengan pintu gerbang / pagar istana Kanazawa. Memandangkan kami agak letih, kami membuat keputusan untuk berkelah sebentar di padang.

Kami meneruskan perjalanan mencari istana di dalam. Tetapi kosong, pelik, di mana pula mereka bina istana. Sedang sibuk mencari, aku terdengar seorang pemandu pelancong sedang memberi penerangan kepada pelanggannya. Rupanya istana Kanazawa telah musnah akibat kebakaran berapa ratus tahun dahulu. Yang masih kekal adalah gerbang istana dan beberapa buah taman di dalam. Bergambar dengan gerbang pun boleh. Haha.
Menuju ke Kanazawa Castle Park
Jalan yang tidak sibuk. Best!
Padang besar sebelum tiba ke pintu masuk
Inilah gate Kanazawa Castle. Cantik!
Lavendar

5.5 Kami dan Kimono
Rancangan kami yang seterusnya ialah berkimono. Dengan bantuan ‘"Google Map"’ kami tiba di kedai sewa kimono. Kami melangkah masuk ke dalam kedai dan disambut mesra oleh pekerja-pekerja disana. Kami mula bertanyakan harga kepada mereka. Terdapat 3 jenis pakej disediakan. Pakej yang paling murah adalah 4,500 yen seorang. Pakej berbeza mengikut jenis corak kimono dan kualiti kainnya. Kami memilih pakej yang paling murah kerana bajet dan corak kimono pakej murah sudah cukup cantik di mata kami.

Adalah dalam 15 minit kami memilih kimono, kemudian kami perlu memilih Obi, Obiage dan Obijime (ini adalah tali/sash yang akan dipakai di luar kimono), selesai bahagian baju kami diminta untuk memilih beg pula. Banyak pula hiasannya, ingat dapat pakai kimono sahaja. Huhu. Selesai memilih dan membayar kami diminta untuk ke kedai mereka diseberang jalan untuk sesi memakai kimono. Dalam 15 hingga 20 minit kami berdua selesai memakai kimono dan bersedia untuk ke lokasi seterusnya.
Hasil pilihan kami
 

TIPS : 
Pemilihan warna kimono yang sesuai amat penting. Saya sarankan anda memilih warna yang terang seperti putih, merah, pink, ungu dan biru. Elakkan memilih warna gelap seperti coklat dan hitam. Pemilihan warna yang betul akan menaikkan seri gambar anda terutamanya apabila anda bergambar di higashi-Chaya district.


5.6 Higashi-Chaya
Sudah lengkap berkimono, kami perlukan kawasan yang sesuai untuk sesi bergambar. Kami memilih untuk ke Higashi-Chaya dimana terdapat ‘"tea houses"’ yang masih dikekalkan seni binanya sejak dari zaman Edo lagi. Setelah 20 minit berjalan, akhirnya kami sampai juga. Rumah dan kedai di sini semuanya masih cantik. Kami berjalan di sepanjang lorong sambil bergambar. Sedang leka bergambar, tiba-tiba hujan turun. Nasib baik kami membawa payung yang disediakan di kedai sewa kimono tadi.

Disebabkan hujan agak lebat kami memilih untuk berehat di ‘"tea house"’. Di sini menyediakan menu kombo teh hijau (asli) bersama dengan manisan tradisi jepun. Harganya 700 yen sahaja. Kami memilih dua jenis manisan berdasarkan gambar dari menu. Rasanya agak unik tetapi sedap. Teh hijau yang dihidangkan juga sedap walaupun sedikit pahit.




Manisan trasional dan teh hijau jepun asli
Selepas hujan
TIPS :
Dari Taman Kenrokuen ke Higashi-Chaya hanya memakan masa 15 hingga 20 minit berjalan kaki. Jika anda ada internet anda boleh buka Maps sahaja. Jika tiada anda boleh bertanya kepada penduduk lokal. 

5.7 Kedai Cenderahati Ishikawa
Rancangan kami seterusnya ialah membuat patung Kaga-Hachiman, kami menuju ke kedai tersebut. Namun hampa apabila aktiviti tersebut telah tamat. Kecewa. Kami berjalan-jalan disekitar sebelum memulangkan kimono.


TIPS : 
Kedai ini terletak bersebelahan dengan Taman Kenrokuen. Di sini terdapat pelbagai jenis manisan tradisional bagi daerah Ishikawa dijual dan terdapat beberapa aktiviti lain yang disediakan bagi pengunjung. Klik sini untuk maklumat lanjut.


5.8 Masjid Kanazawa
Mengikut rancangan asal kami sepatutnya pulang ke rumah sewa selepas memulangkan kimono. Namun, kami membuat keputusan untuk ke Masjid Kanazawa kerana ingin makan malam di restoren berhampiran. Tetapi kami tidak menjumpai restoren tersebut, setelah cek rupanya restoren tersebut tutup jam 3.00 petang. Ber’huhu sahajalah kami disana. Kami singgah di masjid untuk menunaikan solat dan terus pulang ke rumah sewa.

Perjalanan untuk ke sini agak kelam kabut. Kami tersalah turun stesen bas kerana tidak menekan loceng untuk berhenti. Selama ini kami naik bas mereka akan berhenti di setiap hentian. Haha. Disebabkan tersalah turun, kami perlu menunggu bas seterusnya untuk patah balik. Hari sudah mulai gelap dan sejuk. Di Jepun, lampu jalannya malap dan akan menyala jika lalu sahaja. Kawasan sekitar kami memang gelap dan hanya ditemani cahaya lampu dari stesen bas. Alhamdullilah setelah 15 minit menunggu bas pun tiba. Kami tergelak apabila menyedari bahawa pemandu bas ini sama dengan pemandu bas yang kami naik sebelumnya. Disebabkan pemandu bas ini mengetahui cerita kami tersalah turun stesen tadi,beliau berkata kami tidak perlu membayar tambang lagi. Jimat 340 yen.


Klik sini untuk gambar masjid di Kanazawa


5.9 Pakcik Teksi
Setelah kekeliruan dan kecelaruan yang dialami kami sebentar tadi, kami memutuskan untuk pulang ke rumah sewa menaiki teksi. Kami menahan sebuah teksi yang dipandu oleh seorang pakcik. Kami memberitahu kami ingin ke stesen bas berdekatan dengan rumah sewa kami. Kami sebenarnya tak berapa ingat kawasan perumahan kami. Pakcik teksi itu mula bertanya kepada kami disinikah tempatnya, kami tidak dapat memberi jawapan kerana kami pun kurang pasti. Pakcik teksi mula bercakap panjang lebar, bukannya saya tidak faham tetapi tidak tahu hendak menjawab dalam bahasa Jepun. Saya menunjukkan gambar rumah sewa kami dan alamatnya. Pakcik teksi mula menghubungi pusat teksi untuk mendapatkan GPS yang betul ke rumah sewa kami. Akhirnya kami tiba dihadapan rumah.


~Tamat Episod Kelima~


Bonus 1 - Abam Penarik Beca
Sedang leka bergambar, tiba-tiba saya terlihat seorang abam beca sedang menarik becanya. Saya memandangnya dan dia melemparkan senyumannya kepada saya. Serius dia memang kacak. Ini yang paling kacak yang pernah kami jumpa setakat ini.😂 Haha. Rasa menyesal sangat tidak mengambil gambar bersama dia.



Bonus 2 - Peperiksaan Atas Talian LHDN
Dua minggu sebelum kami bertolak ke Jepun, kami menerima mesej dari LHDN bahawa kami layak untuk mengambil peperiksaan atas talian pada 20 September 2017 jam 8.00 malam. Masa nak berjalan inilah mereka hendak buat peperiksaan. Disebabkan kami perlu menjawab peperiksaan kami pulang ke rumah sewa kami awal sejam untuk membuat persediaan (makan dan mandi). Tepat jam 9.00 malam waktu Jepun kami mula menjawab soalan-soalan yang dikemukan. Haha. Memang kelaut semua jawapan, nasib baik soalan objektif, jika subjektif menangis kami disana menjawab.


Jom tengok video di Kanazawa~



Episod 4 - Kyoto  I  Episod 6 - Gattan-go


Untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai bandar Kanazawa boleh klik dibawah
Laman Web Official Ishikawa


TIPS : 
Dari Osaka ke Kanazawa Menggunakan JR Pass
1. Dari Stesen Osaka anda boleh mengambil tren JR Thunderbird (Limited Express) turun di Kanazawa Stesen - Perjalanan hanya memakan masa 2 jam 50 minit
atau
2. Dari Stesen Osaka anda boleh mengambil tren JR Tokaido-Sanyo turun di Maibara stesen, kemudian mengambil tren JR Shirasagi (Limited Express) turun di Kanazawa Stesen - Perjalanan hanya memakan masa 3 jam 50 minit

Berjalan Di Bandar Kanazawa
Ada empat cara anda boleh lakukan untuk pusing di bandar Kanazawa
1. Teksi (mudah, cepat tetapi mahal)
2. Bas (mudah, cepat dan murah)
3. Berjalan kaki (mudah dan murah tetapi lambat dan memenatkan)
4. Berbasikal


Keep Calm and Wait my Next Entry !



-Liyana Abdah- 

Follow me on Instagram Personal   I   Instagram Photography

No comments:

Post a Comment