Friday, 10 November 2017

KUALA SELANGOR TRIP - SKY MIRROR


Hi, kali ini saya ingin 'throwback' trip saya ke Kuala Selangor pada bulan April 2017 yang lalu. Saya merancang trip ini sejak dari awal tahun lagi kerana teringin sangat untuk ke Sky Mirror dekat dengan Kampung Sasaran di Kuala Selangor.

Masihkah anda ingat pernah suatu ketika dahulu sky mirror ini pernah viral di laman-laman sosial ? Jadi saya mula mencari maklumat berkenaan kawasan tersebut. Jujur cakap agak sukar untuk saya mendapatkan maklumat yang diperlukan kerana kebanyakkan blog yang saya jumpa semuanya berbahasa Cina, jika saya terjumpa blog Melayu / Inggeris pula tidak memaparkan maklumat yang diperlukan. Walaubagaimanapun, zaman sudah canggih sekarang, apa gunanya 'Google Translate' kan ? Saya terjumpa satu nombor telefon dan juga facebook page yang menawarkan khidmat tour ke sky mirror. Jom ikuti kisah saya di sana.


MIRROR OF THE SKY, KG SASARAN
Harga bot : RM70 dewasa I RM55 kanak-kanak
Nombor Telefon untuk berurusan : +6018-968 3281 (Chinese woman)
Perjalanan : 30 hingga 40 minit dari jeti

Perjalanan kami ke Kuala Selangor bermula seawal jam 5.15 pagi dari Putrajaya kerana kami perlu tiba di tempat pertemuan pada jam 6.00 pagi. Kami perlu berada awal di sana kerana pada jam 7.00 pagi bot perlu bertolak ke lokasi sky mirror jika tidak air akan surut dan kami akan tersekat di tengah lautan. Kami perlu berkumpul di sebuah restoren Cina di kawasan kampung, jarak dari restoren ke jeti tidak terlalu jauh, dalam 10 minit perjalanan.

Sebelum saya cerita lebih lanjut mengenai pengalaman saya di sana, saya ingin menerangkan serba sedikit berkenaan Mirror Sky. 
Kampung Sasaran merupakan sebuah perkampungan nelayan cina, disebabkan itulah kebanyakan blog yang saya jumpa semuanya berbahasa Cina. Mirror Sky pada asalnya bukanlah tempat pelancongan yang dibuka kepada orang ramai. Mengikut cerita dari ejen tour kami, tempat ini telah dijumpai oleh seorang jurugambar dimana beliau pada waktu itu telah mengikuti seorang nelayan kampung di sana menjala sambil mengambil gambar-gambar mereka. Jurugambar yang kagum dengan kecantikan kawasan tersebut mula menangkap gambar di situ dan ianya telah tersebar. Kecantikan kawasan ini telah mula tersebar dan penduduk-penduduk Cina yang mengetahuinya mula berminat ntuk ke sini. Tempat ini bertambah popular apabila ia mulai viral di laman sosial pada tahun 2016.
Untuk ke sini, anda perlu menaiki bot dalam 30 hingga 45 minit (ikut pada kelajuan bot dan keadaan air laut).
Eh kenapa perlu naik bot pula ? Sebenarnya kawasan ini terletak di tengah-tengah lautan. Kawasan ini akan muncul jika air laut mulai surut iaitu sekitar jam 7.30 pagi hingga jam 10.30 pagi. Disebabkan itulah bot perlu bertolak awal dan pulang mengikut waktu. Jika tidak anda akan terperangkap ditengah-tengah lautan. Jangan main-main woo..huhu..
Tarikh akan diberikan oleh ejen-ejen sewaktu anda bertanyakan harga dari mereka. Anda perlu memilih tarikh dan membuat bayaran pendahuluan untuk memastikan tempahan anda pada tarikh tersebut sah. Bayaran baki boleh dilakukan pada hari kejadian.

Kami tiba di mirror sky dalam jam 8.00 pagi. Sewaktu kami tiba ramai kumpulan-kumpulan lain yang telah tiba lebih awal dan semuanya sedang sibuk bergambar di sana. Teruja kami menjejakkan kaki kesini. Saya  mula mengeluarkan kamera dan bersiap sedia untuk menangkap gambar. Tempat ini sangat luas. jadilah pilihlah spot masing-masing untuk bergambar.Spot yang paling cantik ialah dibahagian dimana air laut masih bertakung kerana pantulan badan / muka anda akan lebih jelas dan cantik. Nasib kami kurang baik kerana kebanyakkan spot cantik itu telah di 'conquer' oleh kumpulan-kumpulan lain. Tetapi kami masih berjaya mendapatkan gambar yang lawa. Kami di sini dalam dua jam sahaja kerana lama-lama di sini tidak elok juga sebab cuaca amat panas (yalah di tengah lautan kan). Sakit kepala dibuatnya sebab terlalu panas. Selesai sesi bergambar kami kembali ke bot. Kami masih belum boleh pulang ke jeti kerana air di jeti masih surut. Jadi kami singgah di Pulau Angsa untuk makan tenghari. Pakej ini termasuk makanan iaitu Nasi Lemak. Kami semua tidak berani makan kerana tidak yakin nasi lemak ini halal. Kami hanya makan jajan-jajan lain seperti roti dan keropok yang disediakan oleh mereka. Sewaktu berhenti di sini kami dibenarkan untuk turun ke pulau. Pulau ini tiada apa-apa pun, sekadar tempat  persinggahan sebentar. Saya tidak berminat untuk turun kerana rasa terseksa untuk turun dan naik semula bot disebabkan ombak pada waktu tersebut agak hebat. Takut terjatuh dalam laut je. Kami di pulau tersebut dalam 45 minit. Sekitar jam 11.00 hingga 11.30 pagi kami mula bertolak pulang.
Tengok matahari itu :)
Luaskan ?
 

Tips: Pakai pakaian yang terang warnanya seperti merah, kuning, hijau dan pink. Untuk mendapatkan gamabr yang cantik anda boleh membawa prop anda sendiri seperti payung, belon, topi dsb.


RESTOREN MEE UDANG BANJIR KUALA SELANGOR

Kami tiba di jeti dalam jam 12.00 tengahari. Perut sudah mula berkeroncong. Tanpa membuang masa kami terus 'google' kedai makanan popular di sekitar. Kami terjumpa restoren mee udang, ramai pengunjung memuji masakan di sini sedap. Jadi kami membuat keputusan untuk ke sana.Dalam jam 12.45 petang kami tiba ke restoren ini. Alhamdullillah nasib baik ada tempat duduk, orang tidak terlalu ramai waktu itu. Kami semua memesan menu yang sama iaitu Mee Udang biasa. Bagi saya rasa Mee Udang ini boleh tahan sedap tetapi tidaklah terlalu sedap. Jika diberi rating saya akan memberi 3.5 bintang. Harga makanan di sini berpatutan. Di sekitar juga terdapat gerai Cendol Bakar yang popular dengan cendol duriannya. Kami tidak singgah kerana kekenyangan.


SEKINCHAN
(Rating : 3.5 bintang)
Aktiviti : Menangkap gambar di sawah padi (Percuma) & melawat kilang pemprosesan beras Sekinchan (RM5 seorang)

Selesai menunaikan solat dan berehat seketika, kami meneruskan perjalanan kami ke sawah padi yang popular di darah Kuala Selangor iaitu Sekinchan. Perjalanan ke Sekinchan memakan masa dalam 25 hingga 35 minit sahaja dari Kg Sasaran. Cuaca pada waktu itu sangat sangat sangat panas. Saya hampir migrain dibuatnya. Sebaik sampai di sana, kami memasuki kilang pembuatan beras, ianya terletak berhadapan dengan sawah padi. Bayaran masuk cuma RM5 seorang dan setiap seorang akan diberi buah tangan iaitu beras 500 gram. Terdapat tiga bahagian di pameran di dalam kilang tersebut. Bahagian pertama kami akan ditayangkan sejarah dan cara pembuatan beras di Sekinchan. Kemudian pekerja di sana akan memberi sedikit penerangan dan sesi soal jawab dibuka. Selepas tayangan kami ke bahagian kedua dimana mereka menunjukkan kepada kami bahagian pembungkusan beras dan mesin-mesin yang digunakan untuk memproses padi menjadi beras. Selepas selesai penerangan kami diberi peluang untuk berjalan-jalan di ruang galeri di dalam, terdapat pelbagai jentera yang dipamerkan di situ dan terdapat juga ruangan untuk bergambar. Selesai berjalan di dalam, kami keluar ke sawah padi. Pada mulanya kami ingat mahu bergambar di sawah padi tetapi cuaca pada hari itu sangat panas, terus hilang mood untuk bergambar. Akhirnya kami singgah membeli aiskrim dan berehat di gerai sambil menikmati pemandangan padi yang menghijau. Layan.

Lepak dulu~
 Nota kaki : 
Di Sekinchan terdapat satu kafe kontena berwarna merah. Kami lihat dari luar sahaja sangat cantik kafe itu. Jika anda ke sini boleh singgah minum kopi dahulu sebelum pulang.


KELIP-KELIP DI PASIR PENAMBANG
(Rating : 4 bintang)
Aktiviti : Melihat kelip-kelip (RM15 seorang) & Eagle feeding (RM12 seorang)

Selain sawah padi, Kuala Selangor juga popular dengan kelip-kelip. Kami pasti tidak akan melepaskan peluang untuk menyaksikan sendiri keindahan kelip-kelip di sini. Kami memilih untuk melihat kelip-kelip di pasir penambang sahaja kerana kami sudah berada berdekatan di sana.
Selain di pasir penambang, anda juga boleh memilih untuk melihat kelip-kelip di Kg Kuantan. Harganya mungkin berbeza sedikit. Sementara menunggu waktu malam, kami sempat singgah ke kafe berdekatan untuk menghilangkan haus. 
Tepat jam 7.40 malam bot kami bertolak ke kawasan pokok Berembang. Untuk pengetahuan anda, habitat kelip-kelip adalah di dahan-dahan pokok Berembang.Kami menyelusuri sungai Kuala Selangor selama 20 minit sebelum tiba ke kawasan habitat mereka. Sebaik sahaja sampai, semua lampu akan dimatikan untuk membolehkan pengunjung-pengunjung melihat dengan lebih jelas. Berpinar-pinar juga mata sewaktu lampu dimatikan dan saya mula mencari kelibat kelip-kelip disebalik pohon berembang. Beberapa ketika kemudian, kami mula melihat cahaya kuning berkedip-kedip di dahan. Mulanya sedikit sahaja, semakin lama semakin banyak cahaya yang kami nampak. Pohon berembang di situ sudah mulai meriah dengan kelipan kuning mereka. Sekali tengok macam pokok Krismas pula. Pengendali bot kami mulai mendekati dahan-dahan pohon berembang dan mula menangkap 2 - 3 ekor kelip-kelip dan diberi kepada pengunjung yang teringin untuk memegangnya. Saya bertuah dapat memegang dan melihat kelip-kelip secara dekat. Kami juga sempat berbual-bual dengan pengendali bot tersebut. Mesra orangnya. Setelah 20 hingga 30 minit kami di situ, kami bergerak pulang ke jeti. Pengalaman sewaktu melihat kelip-kelip memang sangat bermakna buat saya dan tidak mungkin akan dilupakan.
Bagi anda yang merancang untuk berjalan di Kuala Selangor, jangan lupa melakukan aktiviti ini ya. 

Selain apa yang senaraikan di atas, berikut merupakan tempat menarik yang anda boleh singgah ketika berada di Kuala Selangor.

i. Bukit Melawati 
*salah satu kawasan bersejarah di Kuala Selangor. Terdapat peninggalan semasa zaman penjajahan Belanda

ii. Eagle Feeding di Pasir Penambang
*Tour yang sama seperti kami pergi melihat kelip-kelip

iii. Taman Alam Kuala Selangor
*merupakan tempat persinggahan burung-burung dari luar dan dalam negara. Sesuai untuk pencinta burung dan pencinta alam.

iv. Pantai Remis
*Pantai rekreasi, sesuai untuk keluarga dan rakan-rakan berehat sambil menghirup udara laut disini.

v. Perkampungan Sg. Haji Dorani
*Menyediakan homestay yang dikelilingi oleh sawah padi. Sesuai untuk mereka yang ingin merasa keadaan hidup di kawasan kampung dan untuk lari dari kesibukan kota.

vi. Kelip- Kelip Kg Kuantan
*Kawasan popular untuk melihat kelip-kelip

Jika ada masa saya pasti akan ke sini semula untuk melawat tempat yang di senaraikan di atas.

Sekian sahaja untuk kali ini. 



Keep Calm and Wait my Next Entry !



-Liyana Abdah- 



No comments:

Post a Comment